Followers

Muqaddimah

“Dari Abi Sahid dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Izinkan aku Ya Allah untuk berkongsi ilmu keusahawanan tentang perniagaan kedai buku dan alat tulis serta ilmu yang kumiliki ini, Semoga usahaku ini di berkati. Dan semoga diriku dan perniagaan-ku berkembang maju di dalam kami beriman kukuh kepada-MU agar dapat kami menyumbang sesuatu kepada-Mu dan seluruh dunia islam. Amin.

Bagi anda yang berada di kawasan Lembah Kelang dan mahu memberikan projek berkaitan pembekalan buku, alat tulis serta pencetakan kpd saya amat dialu-alukan. SAYA ANTI RASUAH!

Sebarang pertanyaan mengenai operasi kedai buku, jemputan memberi ceramah berkaitan keusahawanan muslim, sumbangan wakaf buku @ al-quran & ETC ke rumah anak yatim islam terpilih di sekitar Rawang (diskaun 10%-30%) DLL boleh email ke azraay17@gmail.com.

(Sejak 2hb September 2010)

Thursday, December 22, 2011

HUKUM ARAK DAN KESANNYA- Khutbah Jumaat Selangor - 23 Disember 2011


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,



Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat serta berusaha melaksanakan segala sunnah Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Islam adalah agama yang mengajak manusia kepada kebaikan serta menghindari dan menjauhi segala perkara yang membawa kepada keburukan dan kemudharatan. Wajib ke atas setiap umat Islam untuk menjaga diri mereka sendiri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan haram hukumnya seseorang itu meletakkan dirinya sendiri dalam keadaan merbahaya dan ke arah kemudharatan. Kesannya lebih besar lagi sekiranya kemudharatan itu turut melibatkan orang lain.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam bukanlah agama yang hanya menyentuh aspek rohani semata-mata. Ia bukannya agama yang hanya membincangkan soal ketuhanan dan ibadat sahaja. Islam menekankan cara hidup yang menepati fitrah manusia dari sudut rohani dan jasmani, mental dan fizikal luaran dan dalaman manusia itu sendiri. Kita yakin bahawa dengan Islam, seseorang manusia itu akan merasa sangat bahagia apabila aspek-aspek ini dapat dipenuhi dengan jayanya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Berdasarkan ayat yang telah dibacakan pada pendahuluan khutbah ini, menjelaskan sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan kepada kita suatu jenis minuman yang disebut sebagai al-khamar. Al-khamar adalah minuman yang memabukkan yang sering kali disebut sebagai arak. Dalam dunia yang serba moden ini, arak dikenali dengan pelbagai nama dan jenama seperti wine, tuak dan sebagainya. Arak adalah minuman yang boleh membawa kepada kemudharatan dan menjerumuskan peminumnya kepada kemaksiatan.   

Rasulullah s.a.w bersabda;

"Arak itu ibu segala kejahatan, sesiapa yang meminumnya solatnya tidak diterima Allah selama 40 hari. Sekiranya ia mati arak itu masih di dalam perutnya, maka matinya sebagai seorang jahiliyah".                     

     (Riwayat Daruqutni)

Sesungguhnya arak itu terlalu banyak keburukan dan kemudharatannya kepada manusia. Arak bukan sahaja boleh merosakkan fikiran dan kesihatan manusia. Malahan ia juga boleh menjadikan seseorang itu hilang pekerti dan rosak akhlak serta aqidahnya. Manusia yang ketagihan arak bukan sahaja akan memalingkan dirinya daripada mengingati Allah SWT malahan lupa tanggungjawabnya sebagai hamba, lupa tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, bahkan mereka yang sedang hanyut dalam kemabukan arak akan mudah terdorong untuk melakukan dosa-dosa besar yang lain seperti berzina, bergaduh dan membunuh. Ini kerana arak telah merosakkan pertimbangan akal mereka yang waras sehingga menyebabkan segala tindak-tanduknya hanya mengikut dorongan hawa nafsu semata-mata.

Arak akan membawa kepada masalah yang lebih besar iaitu keruntuhan institusi keluarga, masyarakat dan negara. Arak bukan sahaja menyebabkan peminumnya hilang pertimbangan diri, malahan ianya boleh membawa kepada ketagihan yang berpanjangan. Penagih arak tidak lagi mempedulikan diri, keluarga dan masyarakat. Mereka hanya memikirkan bagaimana cara untuk memastikan bekalan arak diperolehi setiap masa sehingga sanggup bergaduh, mencuri malahan membunuh sekalipun untuk mendapatkan arak. Cuba kita bayangkan keadaan masyarakat dan negara kita seandainya perkara ini semakin berleluasa. Keruntuhan sosial akan menjadi semakin kritikal ekoran daripada meluasnya penggunaan arak di kalangan masyarakat kita. Maka benarlah seperti sabda Rasulullah s.a.w itu tadi bahawa arak adalah ibu kepada segala maksiat dan kerosakan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Larangan kepada meminum arak yang disarankan oleh Islam adalah untuk kebaikan umat manusia seluruhnya kerana terdapat kesan-kesan negatif yang lebih ketara dalam penggunaan arak. Allah SWT telah menyediakan pelbagai macam nikmat yang tidak terhitung oleh kita, hanya beberapa larangan sahaja yang diberikan untuk kebaikan manusia itu sendiri. Tetapi mengapa ada manusia yang masih ingkar dan terus mendekati larangan-larangan tersebut?.

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

"Rasulullah s.a.w melaknat tentang arak, sepuluh golongan iaitu yang memerahnya, yang meminta diperahkan, yang meminumnya, yang membawanya, yang , yang menuangkannya, yang menjualnya, yang makan harganya, yang membelinya dan yang meminta dibelikan untuknya".                                                                  
(Riwayat At-Tirmidzi)

Berdasarkan hadith tersebut,  jelas kepada kita bagaimana Islam sangat menekankan dan bertegas tentang soal arak. Hukuman ini bukan sahaja dijatuhkan kepada peminumnyam malahan setiap individu yang terlibat dengan proses penyediaan arak daripada peringkat awal hingga ke akhirnya. Ini berikutan daripada buruknya kesan arak dalam masyarakat yang boleh melemahkan institusi sesebuah negara.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Terdapat di kalangan umat Islam yang meminum arak sekadar untuk suka-suka dan berhibur. Mereka menggunakan alasan bahawa arak yang diminum adalah jumlah yang sedikit dan tidak memabukkan mereka. Namun, Rasulullah s.a.w menegaskan perkara tersebut dengan sabdanya;

"Tiap-tiap sesuatu yang memabukkan dalam jumlah yang banyak atau sedikit, maka hukumnya adalah haram".

                    (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, An-Nasai'e dan Abu Daud)

Oleh itu, alasan yang mengatakan hanya minum sedikit tanpa memabukkan adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana hukumnya tetap haram walau hanya mengambil dalam seteguk atau setitis sahaja.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Di Selangor, kesalahan bagi mereka yang meminum arak mengikut Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995, akan dikenakan hukuman maksimum RM3000 dan penjara 2 tahun, manakala bagi mereka yang membuat, menawarkan untuk jualan, menjual serta mempamerkannya boleh dikenakan denda maksimum RM5000 dan 3 tahun penjara.

Akhir-akhir ini, peningkatan gejala arak telah berleluasa di negara ini. Secara tidak langsung ia menyumbang kepada gejala sosial yang amat serius. Pengambilan arak juga tidak pernah sunyi di kalangan umat Islam setiap kali operasi di premis hiburan dijalankan. Ia seolah-olah tiada penyelesaian dan kesedaran.

Perangkaan jenayah di Eropah juga menunjukkan bahawa pengambilan arak bukan sahaja menyumbang kepada berlakunya gejala sosial, tetapi ia juga menyumbang kepada jenayah berat yang lain seperti keganasan rumahtangga, krisis kewangan, pembunuhan dan sebagainya. Jika tidak ditangani segera dikhuatiri ia akan berleluasa di negara ini.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

          Penerapan cara hidup Islam adalah merupakan jalan terbaik bagi menyelamatkan generasi umat Islam daripada terjebak dengan gejala sosial terutamanya yang melibatkan penagihan arak. Pendidikan ini hendaklah bermula dari rumah dengan peranan dan teladan daripada ibubapa mereka sendiri. Gaya hidup yang semakin maju pada hari ini telah menjadikan peranan dan tanggungjawab ibubapa untuk membentuk keluarga beriman semakin bertambah berat dugaan dan cabarannya. Ini kerana generasi yang ada pada hari ini sudah terlalu banyak terdedah kepada pengaruh dan budaya asing yang kebanyakannya bersifat negatif.

          Namun begitu, sekiranya jiwa mereka diasuh dan dididik dengan nilai-nilai keimanan kepada Allah SWT, InsyaAllah generasi Islam hari ini masih boleh diselamatkan untuk dididik sebagai generasi yang boleh diharapkan di masa hadapan. Oleh kerana itu, adalah menjadi peranan dan tanggungjawab ibubapa untuk terus memantau kehidupan anak-anak ini pada setiap masa agar mereka tidak terus hanyut dalam bisikan-bisikan nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan. Sesungguhnya tanggungjawab ini bukan sekadar di dunia sahaja bahkan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Peranan pemimpin sebagai penggubal dan penguatkuasa undang-undang juga tidak boleh dinafikan. Undang-undang haruslah diperketatkan lagi dalam penjualan arak di pusat-pusat hiburan dan premis-premis perniagaan awam untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan pengaruh meminum arak yang diharamkan oleh Islam.

Sekiranya umat Islam bersatu dan bekerjasama dalam menangani isu arak ini, InsyaAllah masalah penggunaan arak ini tidak akan membebankan dan mengganggu hidup kita. Semoga dengan usaha-usaha yang dijalankan akan dapat menyelamatkan umat Islam seluruhnya daripada gejala ketagihan arak yang mendukacitakan ini.

Marilah kita menghidupkan persekitaran Islam dalam keluarga dan masyarakat serta saling ingat-mengingati mengenai gejala sosial yang berlaku di negara ini.

Pupuklah sikap tegur-menegur, nasihat-menasihati serta bersama-sama mencegah kemungkaran di kalangan jiran tetangga, saudara-mara dan masyarakat Islam. Semoga dengan tindakan tersebut akan menghindarkan diri kita daripada bala dan azab Allah SWT.

"Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran arak dan judi itu, serta mahu memalingkan kamu daripada megingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, berhentilah (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu)".                                                                                                                                               (Al-Maidah : 91)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 23 Disember 2011


4.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...