Followers

Muqaddimah

“Dari Abi Sahid dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Izinkan aku Ya Allah untuk berkongsi ilmu keusahawanan tentang perniagaan kedai buku dan alat tulis serta ilmu yang kumiliki ini, Semoga usahaku ini di berkati. Dan semoga diriku dan perniagaan-ku berkembang maju di dalam kami beriman kukuh kepada-MU agar dapat kami menyumbang sesuatu kepada-Mu dan seluruh dunia islam. Amin.

Bagi anda yang berada di kawasan Lembah Kelang dan mahu memberikan projek berkaitan pembekalan buku, alat tulis serta pencetakan kpd saya amat dialu-alukan. SAYA ANTI RASUAH!

Sebarang pertanyaan mengenai operasi kedai buku, jemputan memberi ceramah berkaitan keusahawanan muslim, sumbangan wakaf buku @ al-quran & ETC ke rumah anak yatim islam terpilih di sekitar Rawang (diskaun 10%-30%) DLL boleh email ke azraay17@gmail.com.

(Sejak 2hb September 2010)

Showing posts with label 6. Buku Galeri Ilmu. Show all posts
Showing posts with label 6. Buku Galeri Ilmu. Show all posts

Monday, November 14, 2011

Selamat Pagi Cikgu

Assalamualaikum WTH...


Para cikgu mencari bahan bacaan yang boleh memberi inspirasi kepada mereka? saya cadangkan kepada kalian yang bergelar guru agar membeli dan membaca buku tarbiah diri karya Zainal Haji Buang ini...
(Selamat Pagi Cikgu karya Zainal Haji Buang)

SINOPSIS

“Selamat Pagi, Cikgu!” perlu dibaca oleh setiap guru, bakal guru dan mereka yang bercita-cita menjadi guru. Sebuah bacaan santai yang pasti mencuit kalbu. 


“Selamat Pagi, Cikgu!” merupakan satu catatan pengalaman seorang guru, bermula dari tawarannya mendapat jawatan cikgu pangkat rendah sehinggalah menjawat jawatan guru besar. Pelbagai peristiwa menarik, suka duka, pahit manis ditempuh. Sesungguhnya, kerjaya seorang guru bukan mudah dan penuh warna-warni. 

Petikan bab: KUALA LUMPUR?

Pagi-pagi lagi aku sudah terpacak diwarung Pak Zubir. Sudah hampir seminggu jiwaku kucar-kacir tidak menentu. Mataku berkedip-kedip kuyu persis kelip-kelip menyambut senja yang syahdu. Dadaku berdebar-debar. Tubuhku yang kurus kering itu turut menggeletar. Aku tiba-tiba teringat petua orang tua-tua. Ada musibah yang bakal melatah. Ada bala bencana yang mungkin menimpa. Gabra juga aku miskipun aku kurang percaya. Lagu Kenangan Mengusik Jiwa nyanyian A.Ramlie, sedang berkumandang, menceriakan suasana. Liriknya begitu sendu menusuk-nusuk kalbuku. 
Mataku meliar memandang keluar.

Terintai-intai macam tupai didahan cermai. Terjenguk-jenguk bagai anak-anak bermain sorok-sorok. Aku menghirup kopi yang terhidang depan mata. Namun nikmatnya tidak begitu terasa. Aku benar-benar dalam dilema yang menyesakkan minda. Debaran hatiku tiba-tiba memuncak. Yang dinanti-nantikan mula menampakkan kelibat. Aku mengurut dada tanda lega. Aku berdoa agar hari ini ia datang membawa bahagia. Aku bermunajat agar tercapai apa yang dihajat. Semua mata dalam warung Pak Zubir bersinar ceria. 
Posmen tercinta itu datang tepat pada masanya. Sudah menjadi adat dan tradisi. Warung Pak Zubir adalah stesen rasmi. Semua surat penduduk kampung berhimpun disini. Cepat dan mudah. Jesteru, tidak hairan jika warung Pak Zubir jadi tumpuan.

Posmen yang setia berkhidmat itu terus melaksanakan amanat. Dia meletakkan surat-surat yang siap terikat itu dengan cermat. Pak Zubir segera menyambar semua surat yang terdampar. Sudah menjadi tugas dan rutin , dia sendiri yang akan mengagih-agihkan surat berkenaan. Dia tidak mahu warungnya kelibang-kelibut. Takut nanti ada kerusi yang patah kaki. Ada meja yang tunggang terbalik. Ada surat yang koyak-rabak. Dia akan membaca dengan kuat nama-nama yang tertinta pada setiap surat. Setiap yang berharap harus bersabar termasuklah aku yang sedang menahan debar. 

Pak Zubir mencanang setiap nama yang terpampang itu dengan tenang. Ada ketikanya dia berkelakar. Suasana tiba-tiba bertukar hingar-bingar. Yang berharap kian berdebar-debar. Satu demi satu surat berpindah tangan. Terserlah wajah-wajah yang beraneka telatah. Ada yang terlompat-lompat macam kera terkena jerat. Ada yang mengucup-ngucup warkah dengan ghairah. Ada yang berteriak sambil gelak terbahak-bahak. Hampir semuanya ceria dan gembira. Hanya aku sahaja yang masih bermuram durja. 


UNTUNG NASIBKU


Aku masih ternanti-nanti selasih wangi yang belum pasti. Aku terus mencongak-congak sendiri. Apakah sebenarnya sudah terjadi? Apakah malapetaka yang telah menimpa? Untung nasibku masih terumbang-ambing tanpa penhujung.


Cuti sekolah telah lama menggerak langkah. Hanya berbaki seminggu dua lagi. Namun aku masih belum menerima berita yang pasti. Pelbagai tanda tanya membantai minda. Gagalkah aku? Tidak luluskah aku? Adakah surat keramat tersesat alamat? Mungkinkah aku menjadi mangsa hasad dengki dan khianat terlaknat? Aduhai! Penat, sesak semagat dan otak memikirkannya. 
Masa terus berlalu pantas. Kini hanya tinggal satu sahaja lagi surat yang masih belum berpunya. Pak Zubir pula terbelek-belek persis si buta yang baru celik. Aku mengeluh dan menggerutu sendirian. Punahlah impian. Musnahlah harapan. Hampa dan kecewa mula bertahta dalam jiwa yang sedang bergelora. Aku bingkas bangun untuk berangkat balik. Sia-sia sahaja menunggu perkara yang tak kunjung tiba. Aku melangkah longlai meninggalkan kedai.
Tiba-tiba. 


“Zainal bin Bujang!” Suara garau menggagau gegendang. 
“Zainal bin Bujang!” Bergema lagi suara itu memecah suasana. 
Aku segera menoleh. Pak Zubir tersengih. 
“Surat sayakah Pak Zubir?” ujarku untuk memastikan aku tidak tersilap dengar. 


Aku menerpa ke arah Pak Zubir. Menggeletar tanganku menerima surat bersampul kuning yang bersaiz besar. Aku segera membuka sampul surat. Tidak sabar rasanya untuk melamar apa yang tersirat. Terkial-kial aku menyiat sampul surat yang berpelekat kental itu. Peluh dingin menyimbah tubuh. Seram-seram sejuk mula mencengkam susuk. Aku gugup dan gementar. Tanganku terketar-ketar.Tubuhku menggeletar. Namun akhirnya aku berjaya. Sepucuk surat bertinta “Urusan Seri Paduka Baginda” menjenguk hormat. Aku membaca setiap unggapan yang tertera. 


“Tahniah kerana tuan telah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan akhir di Maktab Perguruan Harian Seremban sesi pengambilan 1967-1968. Dengan ini, Kementerian pelajaran Malaysia bersetuju untuk melantik tuansebagai seorang guru terlatih mulai 1 Januari 1969. Tuan dengan ini ditempatkan untuk mengajar di SRJK(Ing) Batu Empat, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Sila laporkan diri tuan kepada Guru Besar sekolah tersebut pada 1 Januari 1969.”  


Terkemamar sanubariku membelai rasa gembira yang tiada tergambar. Titis-titis jernih mulai bergenang pada kedua-dua belah kelopak mata yang beralis nipis. Aku sempat mengesat sebelum orang mengumpat. Aku tidak mahu orang sekeliling berprasangka juling. Biarlah aku sahaja yang menelan suka dan gembira yang baru sahaja menjelma. Aku segera menghidupkan enjin motosikal yang telah agak berusia. Aku ingin segera pulang ke rumah. Aku ingin memberitahu emak dan abah. Along Ebot dan Uda Jenab pasti teruja. Endek Awi dan Acik Udin tentu memuji tanda prihatin. Leha, Jakdon dan Adik Joi juga pasti terdorong dan terbakar semangat dengan berita yang hangat menyengat. 


****************************************************************************************************




4.

Sunday, October 2, 2011

Kembara Atiq Wazif - satu anugerah

Assalamualaikum wth...



klik disini untuk membeli buku
http://www.stormreaders.net/ustaz_azrai
kemudian daftar sebagai pembeli > klik senarai carian publisher> galeri ilmu> kembara atiq wazif> selamat membeli-belah!

Hm, saya akui yang saya memang seorang yang agak mudah untuk menitiskan air mata ketika sedang membaca buku yang menyentuh emosi samada ianya buku agama, sejarah mahupun novel kisah benar tentang pengalaman hidup. Saya selalu membayangkan diri saya didalam cerita yang saya baca itu... Selain buku keusahawan dan buku motivasi, saya memang suka membaca buku-buku agama, sejarah dan novel kisah benar tentang pengalaman hidup. 


Dua bulan yang lalu saya mempunyai kesempatan untuk membaca buku "Kembara Atiq Wazif - satu anugerah", sebuah kisah yang penuh inspirasi tentang pengorbanan yang hebat sebuah keluarga yang 'bergelut' dengan takdir demi untuk seorang anak istimewa.


Mungkin pengalaman diri saya sendiri sebagai OKU menyebabkan saya memahami serba sedikit berkenaan emosi seorang yang mempunyai anak istimewa.. 


Pertama kali saya membaca buku ini, air mata saya mengalir deras dan saya percaya sekiranya saya membaca buku ini buat kali ke-6nya pun air mata saya akan terus mengalir deras. Moga keluarganya terus tabah hadapi ujian ini...


*******************************************************************************************************


Berkejar Dengan Masa Demi Seorang Anak Istimewa



Buku ini merupakan catatan pengalaman seorang ayah dalam membesarkan seorang anak istimewa bernama Atiq Wazif. Penulisnya, Hasan Suyut, seorang jurutera dan ahli korporat, merakam ketabahan anak kecilnya menanggung kesakitan dan kesengsaraan, ketekunan dan keberanian mengharungi rawatan yang menyakitkan sejak usia si anak masih bayi hingga sekarang, 8 tahun.


Walaupun pakar perubatan telah mengatakan, “Jangan mengharap sangat dari anak ini, dia tidak akan membesar secara normal,” penulis sebagai ayah, tidak pernah patah semangat.
Berkejar dengan masa dalam ikhtiar memulihkan anaknya, penulis membawa keluarganya merentas benua – ke Beijing di Negeri China, ke Timur Tengah, dan seterusnya ke Amerika Syarikat. Hasan bersama isteri dan lima anak mereka kini bermastautin di Florida, AS, meninggalkan sanak-saudara dan kerjaya dalam syarikat yang sedang meningkat naik. Isterinya Dora yang merupakan seorang pendidik cemerlang, sanggup mengambil cuti demi anak yang dikasihi.


Penulis menyulam penulisannya dengan kisah suka-duka yang mewarnai hubungan kekeluargaan dan cerita cinta suami isteri. Dari seorang bapa dan suami yang terlalu sibuk dengan kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada keluarga, kehadiran Wazif benar-benar memberi sinar baru dalam kehidupan penulis sekeluarga.


Kelahiran Wazif memang dirasakan sebagai satu anugerah daripada Allah. “Abang ingat tak masa Wa mengandungkan Wazif dulu, banyak benda-benda pelik berlaku. Mungkin Allah nak beri isyarat pada kita supaya kita bersedia untuk menerima anugerah ini,” kata si isteri pada satu ketika. Kata-kata ini cukup memberi bekas di hati penulis dan menjadi ‘turning point’ yang merubah kehidupan mereka sekeluarga.


Gaya penulisan buku ini, seperti kata Hj. Abu Hassan Morad (pemenang Anugerah Sastera Perdana 2002) yang tercatat di kulit belakang buku, “Cukup mengesankan…. menepati konsep Drama in Real Life!”


Penceritaannya sangat terperinci, mirip gaya novel. Latar masa, latar tempat, perlukisan watak dan setiap patah dialog, begitu segar. Kisah alam mistik perubatan Melayu turut melatari anekdot tangisan dalam tawa, suka dalam duka, susah dan senang yang diharungi oleh penulis sekeluarga…


Konflik mempunyai anak istimewa, konflik rumah tangga dan babak-babak mencemaskan yang diceritakan semula dengan begitu baik, menjadikan buku ini penuh elemen dramatik. Tidak hairanlah seorang pengarah program pendidikan khas di Florida, AS memberitahu penulis, “You can make a movie out of this!”


Menariknya, di bahagian kedua buku ini disertakan Bacaan Bonus, di mana penulis berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif. Juga berdasarkan pengalaman bertemu beberapa insan yang memberikan impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga. Ada beberapa penulisan di dalam bahagian ini yang penulis yakin akan memberi manfaat yang besar kepada ramai ibu bapa.


Siapa tahu, kisah Hasan dan anaknya ini akan difilemkan satu hari nanti… Dalam emelnya kepada editor buku ini, Hasan menyatakan keyakinannya, jika buku ini difilemkan dan watak dirinya dimainkan oleh Denzel Washington, filem itu mungkin akan menjadi box-office!
4.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...