Followers

Muqaddimah

“Dari Abi Sahid dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Izinkan aku Ya Allah untuk berkongsi ilmu keusahawanan tentang perniagaan kedai buku dan alat tulis serta ilmu yang kumiliki ini, Semoga usahaku ini di berkati. Dan semoga diriku dan perniagaan-ku berkembang maju di dalam kami beriman kukuh kepada-MU agar dapat kami menyumbang sesuatu kepada-Mu dan seluruh dunia islam. Amin.

Bagi anda yang berada di kawasan Lembah Kelang dan mahu memberikan projek berkaitan pembekalan buku, alat tulis serta pencetakan kpd saya amat dialu-alukan. SAYA ANTI RASUAH!

Sebarang pertanyaan mengenai operasi kedai buku, jemputan memberi ceramah berkaitan keusahawanan muslim, sumbangan wakaf buku @ al-quran & ETC ke rumah anak yatim islam terpilih di sekitar Rawang (diskaun 10%-30%) DLL boleh email ke azraay17@gmail.com.

(Sejak 2hb September 2010)

Showing posts with label motivasi bisnes. Show all posts
Showing posts with label motivasi bisnes. Show all posts

Friday, December 16, 2011

Bisnes Dan Survival Kedai Buku Kecil Dan Sederhana

Assalamualaikum WTH..

Membuka perniagaan berkonsepkan kedai buku merupakan antara perniagaan yang sering mendapat tempat dihati semua orang yang bercita-cita membuka perniagaan. Namun bagi mereka yang tidak sempat 'belajar' dan 'melihat' potensi perniagaan jenis ini secara total, mereka sering tertewas. Jesteru itu, kadangkala kita sering mendapati secara purata hampir dua buah kedai buku akan diiklankan untuk dijual dalam tempoh sebulan samada di media-media cetak mahupun media elektronik.


Survival @ keberlansungan kehidupan perniagaan kedai buku kecil dan sederhana merupakan perjuangan pemilik dan pekerja didalam memastikan perniagaan mereka dapat bertahan lama.

Survival perniagaan kedai buku bersaiz kecil dan sederhana tergantung kepada penjualan produk mereka. Semakin tinggi jumlah jualan mereka, semakin kukuh kedudukan perniagaan mereka. Survival kedai buku bersaiz kecil dan sederhana bergantung kepada beberapa faktor:
  1. Lokasi premis perniagaan
  2. Sumber wang masuk
  3. Jumlah keuntungan purata yang diperolehi
  4. Pelan pemasaran & Pengiklanan
  5. Potensi buku yang dijual
  6. Purata jualan harian
1. Lokasi premis perniagaan 
Lokasi perniagaan kedai buku merupakan asas kepada kejayaan sesebuah perniagaan berkonsepkan kedai buku. Lokasi yang dicadangkan kepada kedai buku ialah lokasi yang memiliki aliran trafik yang tinggi seperti terletak dikompleks membeli belah, terminal bas dan terletak dikawasan pusat bandar.

2. Sumber wang masuk
Kepelbagaian sumber wang masuk merupakan satu keperluan kepada semua jenis perniagaan. Pemilik perniagaan kedai buku bersaiz kecil dan sederhana perlu mempelbagaikan sumber wang masuk. Kebergantungan semata-mata kepada jualan tunai di premis bukanlah amalan marketing yang baik untuk sesebuah kedai buku bersaiz kecil dan sederhana kecuali perniagaan anda sememangnya cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan

3. Jumlah keuntungan purata yang diperolehi
Jumlah margin keuntungan yang releven bagi sesebuah buku ialah sebanyak 30%-50% bergantung kepada kuantiti belian stok. Sekiranya anda mendapat kadar margin keuntungan yang kurang daripada itu, perniagaan anda perlu menjual kuantiti buku yang agak banyak bagi menampung perbelanjaan.

*note: anda digalakkan memberikan diskaun bagi beberapa genre buku popular dan mengecilkan keuntungan anda demi menarik pelanggan.

4. Pelan pemasaran & pengiklanan
Pemasaran & pengiklanan bagi kedai buku bersaiz kecil dan sederhana? Yup... pemasaran & pengiklanan sangat penting bagi semua jenis perniagaan tanpa mengira saiz, tempoh lama beroperasi, konsep dan pelbagai lagi. Mungkin anda beruntung jika lokasi kedai buku anda benar-benar terletak dikawasan tumpuan dan mempunyai aliran trafik yang ramai. Tetapi anda juga perlu menyediakan pelan pemasaran & pengiklanan bagi menunjukkan kepada khalayak sasaran bahawa perniagaan anda masih beroperasi dan bernyawa!

5. Potensi buku yang dijual
Kedai buku manakah yang tidak menjual buku? Adakah anda pasti kedai kecil anda hanya menjual buku yang benar-benar memenuhi keperluan pembaca? Adakah stok buku anda yang dibeli lima tahun lepas yang masih berada didalam rak?

Semua buku dibukukan mempunyai potensi masing-masing, namun sebagai penjual, kita sewajarnya peka terhadap potensi sesebuah buku dan bijak meneka bila, bagaimana dan kenapa sesuatu buku itu agak laku bagi sesetengah masa dan tidak laku bagi kebanyakkan masa. Sememangnya buku adalah benda yang tidak akan basi.. (kecuali buku sekolah yang telah ditukar sukatannya) namun sesetengah buku mempunyai kadar masa "laju" dan "suam"nya yang tersendiri.

6. Purata jualan harian
Survival kedai buku yang paling penting ialah nilai jualannya. Secantik mana anda menghias dan mendekorasi kedai buku anda. Ianya tidak bermakna sekiranya anda tiada jualan! Secara purata bagi kedai yang mempunyai kadar sewa sebanyak RM3000 sebulan, mempunyai jumlah pekerja seramai 4 orang ( dgn kadar gaji RM8000 sebulan), bil utiliti berjumlah RM1000 sebulan.. sekurang-kurangnya anda perlu mendapatkan purata jumlah jualan sebanyak RM1000 sehari untuk menampung kos perniagaan anda. Bagaimana mahu meningkatkan jualan tunai? Sediakan pelan pemasaran dan pengiklanan yang terbaik!



4.

Monday, December 5, 2011

Rahsia Jutawan Islam: Abdul Rahman Bin Auf

Assalamualaikum WTH...


Tidak sabar rasanya saya untuk membaca buku kisah kehebatan tokoh usahawan muslim ini yang akan terbit pada 20 disember 2011 ini. Saya pasti juga ramai dikalangan pembaca terutamanya dikalangan teman-teman usahawan yang menunggu-nunggu karya sebegini.


(Rahsia Jutawan Islam: Abdul Rahman Bin Auf)
Harga: RM 25.00 / RM 28.00
ISBN-13: 978-967-369-131-9 
Tarikh Terbit: 20 Dec 2011
Jumlah Muka Surat : 376
Kategori: Bisnes & Pengurusan
Penerbit: PTS Professional Publishing 

Sinopsis


Sungguh, kulihat diriku, seandainya aku mengangkat batu, nescaya kutemukan di bawahnya emas dan perak.”

Abdul Rahman Bin Auf adalah ikon usahawan dan tokoh jutawan Islam. Apakah model bisnes dan rahsia kejayaan beliau? Buku ini akan mengupas rahsia bisnes Abdul Rahman Bin Auf bagi tatapan kita, usahawan moden dan umat akhir zaman.

Jutawan Terkaya Pada Zaman Nabi
Abdul Rahman ditawarkan dengan harta kekayaan dan seorang isteri, tetapi beliau menolaknya dan hanya mahu tahu jalan menuju ke pasar. Beliau memulakan bisnes, memecahkan monopoli bisnes Yahudi, dan menjadi jutawan terkaya di Madinah. Nilai kekayaannya mencecah RM107 juta.

Erti Hidup Pada Memberi
Untuk Perang Tabuk, Abdul Rahman menderma lebih daripada RM25 juta (200 dinar, 500 ekor kuda, dan 1500 ekor unta). Kekayaannya langsung tidak berkurangan bahkan Allah melipatgandakan lagi harta kekayaannya.

Jual Pada Harga Modal Dan Tetap Untung
Abdul Rahman menjual 1000 ekor unta pada harga modal tanpa margin keuntungan. Keuntungan beliau ialah pada tali pengikat unta yang dijual sekali dengan unta sebagai nilai tambah. Beliau menjual tali itu dengan harga 1 dirham. Dalam satu hari beliau menjana keuntungan 100 dirham.

Bisnes Diberkati Allah
Jika ada yang bertanya tentang rahsia bisnesnya, Abdul Rahman bin Auf menjawab,

Aku tidak menjual barang-barang yang rosak. Aku merasa cukup dengan untung yangsedikit tetapi diberkati oleh Allah.”

Berbisnes di dunia, untung sampai ke syurga.

ISI KANDUNGAN

Memimpin Transformasi Gaya Abdul Rahman bin Auf 
Resume Abdul Rahman bin Auf
Bahagian 1: Nilai
  • Hari Pertama - Memiliki Paradigma Kaya
  • Hari ke-2 - Meneroka “Jalan Sutera”
  • Hari ke-3 - Mengakses Maklumat yang Benar
  • Hari ke-4 - Berdiri Atas Kaki Sendiri
  • Hari ke-5 - Mencintai Rasulullah
Bahagian 2: Proses
  • Hari ke-6 - Membetulkan Persepsi terhadap “Wang”
  • Hari ke-7 - Bermula dengan Apa yang Ada di Tangan
  • Hari ke-8 - Hijrah Memantapkan Bisnes
  • Hari ke-9 - Menjadi Hebat dengan Sabar
  • Hari ke-10 - Syukur dengan Kedua Tangan
Bahagian 3: Strategi
  • Hari ke-11 - Zuhud Bisnes
  • Hari ke-12 - Transformasi Nama dan Jenama
  • Hari ke-13 - Tradisional Murabahah
  • Hari ke-14 - Multi Tasking Anugerah Tuhan
  • Hari ke-15 - Sinergi Haji dan Umrah

Bahagian 4: Quwwah
  • Hari ke-16 - Kayakan Waris
  • Hari ke-17 - Bisnes dengan Bukan Muslim
  • Hari ke-18 - Dekati Masjid
  • Hari ke-19 - Berdoa untuk Orang Lain
  • Hari ke-20 - Aku Nikah dengan Satu Dinar
Bahagian 5: Matlamat
  • Hari ke-21 - Bisnes Patuh Syariah
  • Hari ke-22 - Menjadi Saudagar Tuhan
  • Hari ke-23 - Bina Lingkungan Muakha
  • Hari ke-24 - Integriti dan Karismatik
  • Hari ke-25 - Refleksi Diri
Bonus Tambahan Untuk 5 Hari
  • Panduan Bisnes Sepanjang Zaman
  • FAQ: Salah faham Terhadap Abdul Rahman bin Auf
  • Lapan Amalan Takwa

Berbisnes di dunia, untung sampai ke syurga.







4.

Monday, October 24, 2011

Suatu Masa Lalu

Assalamualaikum WTH...
Semasa saya masih kecil, saya sering membaca kisah-kisah keagamaan, keusahawanan dan kekayaan.

Namun  antara kisah yang masih saya ingati sehingga kini ialah kisah usahawan kaya yang 
sukar tidur pada waktu malam kerana:
  • Terlalu memikirkan tentang perniagaan yang dimilikinya
  • Terlalu memikirkan dimana hartanya hendak disalurkan
  • Terlalu memikirkan bagaimana mahu memajukan perniagaanya
  • Terlalu memikirkan bagaimana mahu mengelak kerugian
Saya tidak pasti mengapa pada zaman 1980-an dahulu orang-orang dewasa ketika itu sering memberikan tanggapan negatif terhadap usahawan dan golongan kaya. Usahawan kaya seringkali dianggap sebagai orang yang tamakkan harta, sukar tidur malam, berperut boroi, suka menindas mental dan fizikal pekerja, mendapat projek melalui amalan rasuah, orang jahat, suka berhibur, kaki perempuan dan lain-lain lagi.

Kisah Qarun yang mati tenggelam ditelan bumi, kisah Tsalabah yang dihukum Allah kerana tidak membayar zakat serta pelbagai lagi kisah tauladan terhadap usahawan yang kaya-raya menerima hukuman Allah SWT MENENGGELAMKAN kisah kehebatan Saidatina Hadijah membina empayar perniagaan dan kisah kehebatan serta kejujuran Rasulullah di dalam perniagaan sehingga memperolehi keuntungan lumayan setiapkali membantu perniagaan Siti hadijah.

Malah kisah-kisah keusahawanan sahabat-sahabat Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar Assiddiq, Osman Affan, Abdul Rahman Auf dan lain-lain sahabat yang telah dijamin oleh Rasulullah akan masuk ke syurga juga turut tenggelam sedangkan cerita tentang mereka yang sangat dermawan dengan menyumbang ribuan wang dan binatang untuk kegunaan umat islam juga mempunyai iktibar yang berguna untuk meransang semangat dikalangan usahawan muslim yang lain.

Bayangkan ketika saya masih bersekolah rendah, sangat kurang pelajar dan hampir tiada pun rasanya teman-teman yang menulis ‘usahawan’ didalam borang kaji selidik peribadi sebagai cita-cita mereka apabila dewasa! Saya sendiri dan ramai lagi pelajar lebih senang memilih doktor, askar, polis, guru dan pelbagai lagi jawatan yang tersedia didalam jabatan kerajaan sebagai pilihan kerjaya apabila dewasa.

Mungkinkah itu kesan daripada letusan cerita-cerita tentang hukuman yang diterima oleh golongan usahawan kaya dan betapa tenggelamnya kisah usahawan muslim hebat?

Saya tidak berhasrat menolak secara total kisah-kisah tauladan mengenai usahawan kaya-raya yang menerima hukuman kerana menolak suruhan Allah SWT, namun pendekatan ‘limpahan kisah menghukum’ pada tahun-tahun 1980-an hingga tahun 1990-an menyebabkan kurangnya populariti untuk kami yang masih kanak-kanak ketika itu bercita-cita menjadi usahawan.

Mungkin kisah dan bab-bab selanjutnya didalam blog ini boleh menjadi peransang untuk kita agar dapat berkongsi kisah-kisah hebat kejayaan usahawan muslim. 

Note: teringat juga ketika itu, buku-buku agama yang berkulit hitam, berdakwat emas serta bertajuk yang menyeramkan seperti siksa kubur, neraka dan balasan, alam barzakh... 

zaman sudah berubah! Ayuh kita hidangkan anak-anak kita dan masyarakat sekeliling dengan cerita membina tentang keusahawanan muslim & menjadi kaya melalui cara yang Allah redha! jika dahulu kita dihidangkan hanya satu kisah keindahan keusahawanan muslim berbanding 20 kisah usahawan yang masuk ke neraka, kita ubah dengan bercerita 12 kisah keindahan keusahawanan muslim bersama 8 kisah usahawan yang masuk ke neraka agar dapat membangkitkan jiwa keusahawanan di kalangan orang muda!

Islam itu indah, keusahawanan muslim juga indah.. :)


4.

Monday, October 17, 2011

Adakah perlu "Malu" untuk menjadi usahawan?

Assalamualaikum WTH...

(Bersama Ustaz Zahazan yang sudi bertandang dan menandatangani buku karya beliau di Booth kami sempena Karnival Mesra anjuran Masjid Cntry Homes, Rawang)

Entri ini ditulis sempena satu pertanyaan dari seorang sahabat yang juga bercita-cita menjadi usahawan. 

"Pernahkah awak berasa malu untuk menjadi peniaga & usahawan terutama sekali ketika sedang berniaga ditapak-tapak ekspo, karnival mahupun ketika membuka booth di pusat membeli-belah dan pejabat-pejabat kerajaan?"

Jawapan saya ialah: 

Benar, pada pertama kali saya sangat malu untuk berhadapan dengan orang ramai. Walaupun saya pernah membantu ayah saya di kedai runcit miliknya, suasana berniaga ditapak-tapak ekspo, karnival mahupun ketika membuka booth di pusat membeli-belah sangat berbeza dengan suasana kedai runcit. Jika dikedai runcit milik ayah saya, secara puratanya saya amat mengenali secara peribadi pelanggan tetap kami, walaupun wujud pelanggan yang tidak saya kenali, hubungan antara peniaga kedai dan pelanggan sangat rapat. Berbeza dengan pelanggan ditapak-tapak ekspo, karnival mahupun ketika membuka booth di pusat membeli-belah, kami terpaksa bergerak dan menggunakan kreativiti untuk memancing perhatian bakal pelanggan untuk masuk ke booth kami.

Pertama kali saya membuka booth adalah di Karnival sebuah masjid di Cauntry Homes yang merupakan taman kediaman saya sendiri. Saya masih ingat pada hari pertama, saya hanya duduk dikaunter memerhatikan orang lalu lalang, bahkan saya selalu memandang tunduk kebawah. Kerana malu jika terjumpa jiran-jiran dan takut terserempak dengan teman lama. 

Cuba anda bayangkan jika saya terjumpa dengan teman lama yang tahu kehidupan saya yang lalu, bekas kaunselor Jabatan Agama Islam & bekas pegawai di sebuah IPTA yang suatu ketika lalu saya menerima 'gaji asas' sebanyak RM2*** sebulan dan menerima gaji kasar sebanyak hampir RM4***++ sebulan kini menjaja buku di tapak ekspo masjid. Walaupun mereka mungkin tidak pernah tahu kejadian yang menimpa saya sebelum ini sehingga bergelar OKU. Secara jujurnya saya ketika itu sangat malu dengan situasi itu.

Hasil jualan pada hari "malu" pertama saya itu tidaklah terlalu membanggakan, hanya RM600. Namun wujud perasaan cemburu didalam hati saya melihat jiran sebelah booth kami yang mungkin menerima ribuan ringgit pada hari itu. 

Malam itu saya cuba meransang dan mencabar diri saya, untuk berjaya saya perlu membuang sedikit rasa malu itu. Saya perlu menjadi jurujual yang hebat di mana-mana sahaja! Saya perlu mengeluarkan suara untuk memancing pelanggan singgah ke booth kami dan memilih buku yang saya jual. Saya perlu tersenyum dan tidak tunduk memandang ke bumi. Saya mencari rezeki yang halal di bumi Allah ini!

Alhamdulillah, setelah menunaikan solat sunat mutlak & hajat, saya memiliki satu kekuatan baru!   Secara tiba-tiba saya merasakan diri saya adalah manusia yang hebat, saya terpilih dikalangan  jutaan manusia yang menyebarkan dakwah melalui penjualan buku agama, pengurusan dan pelbagai lagi barangan sunnah. Bahkan saya melakukan salah satu yang Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pernah lakukan iaitu menjadi peniaga & usahawan. Bukankah maksudnya saya golongan terpilih dikalangan jutaan mereka yang bercita-cita untuk menjadi usahawan dan mengikut jejak kejayaan Junjungan Besar Nabi Muhammad ini? Saya menanam benih sifat positif dalam diri dan seakan jatuh cinta pandang pertama dengan bidang ini.

Hari kedua karnival masjid itu berjalan lancar, saya mula berdiri bersama abang saya untuk mendekati pelanggan. Mulut kami sama-sama tersenyum manis sambil menuturkan ucapan selamat dan berbicara tentang produk dengan lancar. Tiada lagi memandang ke bawah, bahkan mata dan mulut kami sama-sama berbicara dan hasilnya jualan kami pada hari itu sangat memuaskan dan berjaya mengutip tiga kali ganda dari jumlah jualan pada hari pertama.

Alhamdulillah. Kini, saya dan PNN sudah mula menumpukan perhatian terhadap potensi  berniaga ditapak-tapak ekspo, karnival mahupun ketika membuka booth di pusat membeli-belah dan pejabat-pejabat kerajaan. Kami juga nensasarkan untuk menyertai sekurang-kurangnya 5 hingga sepuluh penyertaan jualan ditapak-tapak ekspo mahupun karnival yang bersesuaian dengan konsep jualan buku islami.

Alhamdulillah, setakat ini jumlah jualan terkecil ditapak-tapak ekspo, karnival mahupun ketika membuka booth di pusat membeli-belah dan pejabat-pejabat kerajaan adalah bernilai RM7 (mmg takkan saya lupakan sampai mati sbb ditipu penganjur karnival ini) dan yang paling tinggi ialah hampir RM3k++ sehari.

InsyaAllah pada lain kesempatan saya akan kongsikan kepada khalayak tentang tip-tip untuk menyertai jualan ditapak-tapak ekspo, karnival mahupun ketika membuka booth di pusat membeli-belah dan pejabat-pejabat kerajaan.

"Buang sedikit rasa malu, berdoa, cintai dan lakukanlah bersungguh-sungguh perkara yang anda sedang lakukan selagi ianya halal"

"Tapi jangan buang semua sifat malu itu, kerana bukankah malu itu juga sebahagian dari iman?"



4.

Monday, September 26, 2011

Islamisasi bisnes

Assalamualaikum wth... 



Islamisasi bisnes. Satu tajuk yang agak besar untuk saya coretkan diblog yang serba kekurangan ini. 

Hm, perkataan "islamisasi" seringkali kita dengari dewasa ini, samada dimedia masa dan di media-media cetak. Islamisasi merujuk kepada satu proses yang berterusan untuk mengislamkan sesuatu aktiviti dan perbuatan manusia dan masyarakat amnya. 

Islamisasi bisnes

Islamisasi bisnes merupakan satu konsep berkaitan proses 'mengislamkan perniagaan' secara total. Islamisasi bisnes adalah proses "mengislamkan perniagaan" dengan memasukkan roh tasawur islam kepada sistem muamalah & iqtishadiyah (ekonomi islam). Hal ini bermaksud pihak pengusaha perniagaan dan anggota masyarakat sebagai pengguna berperanan untuk memastikan seluruh organisasi & cabang perjalanan perniagaan yang sedang diusahakan mengikut landasan dan acuan yang telah digariskan oleh agama islam serta meninggalkan tanpa kompromi segala perbuatan yang dilarang oleh islam. 

Proses 'mengislamkan perniagaan' ini wajib bermula sejak dari dari awal penubuhan sesuatu perniagaan itu dan berlansung sepanjang tempoh perniagaan itu diusahakan. Memandangkan agama islam itu sendiri merupakan agama suci yang mementingkan kepada konsep keadilan, kesucian, halal & haram dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian, islam telah menggariskan beberapa panduan kepada pihak usahawan & peniaga serta kepada pembeli amalkan sepanjang tempoh perniagaan mereka dan keseluruhan hidup mereka amnya.

Konsep islamisasi bisnes ini sebenarnya bermula setelah kedatangan islam kemuka bumi yang membawa mesej keadilan dan kebenaran. Sebelum kedatangan islam, masyarakat dunia terutamanya masyarakat usahawan & peniaga arab jahiliyah merupakan golongan peniaga yang hanya mementingkan konsep keuntungan dunia semata-mata. Amalan riba, menipu timbangan, menipu kualiti produk, kaedah jual beli yang tidak jelas dan pelbagai lagi kesalahan dalam sistem muamalah berlaku secara-terangan dan jelas membebankan pihak pembeli dan pengguna.  Namun, setelah kedatangan islam kemuka bumi ini yang hadir membawa bersama sistem muamalah & iqtishadiyah (ekonomi islam) yang membawa keadilan kepada kedua-dua pihak iaitu penjual dan pengguna, amalan-amalan jahiliyah ini secara beransur-ansur kehilangan tempat dihati masyarakat.

"Peniaga yang jujur dan amanah akan berada bersama para nabi, shodikin (orang-orang yang benar), orang yang mati syahid pada hari kiamat"

hadis riwayat Tarmizi & Ibnu Majah

Islamisasi bisness bukanlah menolak faktor keuntungan dunia, malah proses islamisasi bisnes merupakan satu konsep dimana pihak usahawan & peniaga berkongsi keuntungan diantara pihak penjual dan pembeli. Situasi menang-menang yang tercipta dari sistem muamalah & iqtishadiyah ini 

"Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang yg jahat melainkan orang yang bertakwa kepada Allah, melakukan kebaikkan dan benar"

(hadis riwayat at-tirmizi)

Ciri-ciri Islamisasi Bisnes Bagi Pihak Usahawan Muslim

Islamisasi bisnes juga bermaksud pihak usahawan dan peniaga berfungsi sebagai ketua yang memastikan keseluruhan perjalanan perniagaan mereka bermula daripada beberapa ciri dibawah:

  1. Menjaga amalan wajib dalam islam
  2. Memastikan sumber modal yang dikeluar adalah daripada sumber yang halal
  3. Pendapatan yang diperolehi adalah dari pendapatan yang jelas halal
  4. Mengamalkan sistem jualbeli yang halal & tidak syubhah
  5. Keseluruhan pekerja termasuk pengusaha tidak melakukan sebarang perbuatan makruh & haram terutamanya ketika tempoh perniagaan- seperti tidak menutup aurat, mengumpat & memfitnah ketika bekerja dll (perbuatan haram yg selain daripada larangan ketika aktiviti jual beli berlaku)
  6. Mengamalkan amalan sunah ketika bekerja- sentiasa berzikir, menjaga wuduk, solat berjemaah bersama dll (perbuatan sunah yg selain daripada aktiviti jual beli berlaku)
Ciri-ciri Islamisasi Bisnes Bagi Pihak Pembeli Muslim

Islamisasi bisnes juga bermaksud pihak pembeli juga berfungsi memastikan keseluruhan perjalanan perniagaan mereka bermula daripada beberapa ciri dibawah:
1.    Sumber wang yang dikeluarkan untuk membeli adalah daripada sumber yang halal
2.    Mengamalkan sistem jualbeli yang jelas halal



MARI BERSAMA MENYOKONG USAHAWAN MUSLIM & ISLAMISASI BISNES

InsyaAllah akan bersambung tajuk 
1. Cabaran islamisasi bisnes 
2. Peranan pihak usahawan muslim
3. Penerimaan orang bukan muslim terhadap islamisasi bisnes.. 

(",)
4.

Monday, September 12, 2011

"Orang kaya masuk syurga dulu" oleh Dato' Dasuki Hj Ahmad


Assalamualaikum WTH..



Kitab DURATUN NASIHIN adalah sebuah kitab tua yang menjadi bacaan utama ulama-ulama dan tok guru pondok zaman dahulu untuk ditadah oleh murid-murid mereka. Kitab yang berkonsepkan kepada tasawuf ini adalah merupakan kumpulan hadis yang bertemakan perkara-perkara fadhail. Terkandung di dalamnya hadis-hadis yang mencerminkan kelebihan dan keistimewaan berakhlak mulia dan kesucian diri.

Dikatakan bahawa kebanyakan hadis yang terkandung di dalam kitab tersebut adalah daif dan lemah. Namun demikian, sesiapa yang membaca dan dapat memahaminya, akan terbentuklah dalam dirinya keperibadian yang mulia dan akhlak terpuji, kerana kandungannya mengarah kepada mensucikan diri, memahamkan dengan mudah gagasan kejadian alam ini dan dapat meyakini konsep ketuhanan secara lebih berkesan.

Itulah sebabnya ulama dan tok guru pondok dahulu amat dihormati dan dimuliakan oleh masyarakat. Mereka mempunyai nilai kehebatan dan karamah. Anugerah ini didatangkan Allah kepada mereka kerana akhlak dan sifat-sifat sufi mereka.

Mungkin ulama dahulu tidak hebat berpidato, kelihatan selekeh dan ‘serebeh‘, tidak kemas dan tidak bergaya, tidak berpangkat dan tidak bergelar, tetapi namanya menjadi sebutan baik. Dia tidak menjelajah mencari pengaruh dan populariti, tetapi orang ramai dari setiap pelosok datang menemui mereka untuk menimba ilmu dan mendapat keberkatan daripada mereka.

Dia juga tidak mementing dan mengutamakan dirinya, tetapi orang ramai yang memberi kedudukan dan mendahulukannya dalam serba perkara sebagai penghormatan dan penghargaan kepada ulama. Dan ulama tidak pernah menagih atau menuntut penghormatan ini.

Ada sebuah hadis yang menarik perhatian saya yang terdapat dalam kitab tersebut di bawah bab ilmu. Hadis yang berkenaan saya skripkan seperti berikut:

Di akhirat nanti, berlaku dialog di pintu syurga antara Malaikat Jibrail dengan Malaikat Ridhwan yang menjaga syurga. Malaikat Ridhwan terpaksa meminta nasihat daripada Jibrail dalam menyelesaikan masalah empat orang manusia yang beruntung masuk syurga tanpa dihisab. Masing-masing memohon masuk syurga mendahului sahabat-sahabatnya yang lain.

Manusia yang berkenaan ialah pejuang yang syahid, orang kaya yang dermawan, pekerja haji yang mabrur, dan seorang alim yang soleh.

Malaikat Ridhwan meminta pertolongan Jibrail bagi menyelesaikan masalah mereka. Jibrail terus menemui mereka dan memanggil seorang demi seorang untuk menyelesaikan perebutan itu.

Pejuang yang syahid itu dengan sikap kepahlawanan dan kesatria maju ke depan. Terus saja dia disoal siasat oleh Jibrail.

JIBRAIL: Kamu pejuang yang mati syahid?
PEJUANG: Benar! Saya syahid kerana membela agama dalam suatu peperangan.
JIBRAIL: Syabas, beruntung kamu!
PEJUANG: Alhamdulillah, syukur.
JIBRAIL: Tetapi bagaimana kamu berani sehingga sanggup mati cuma kerana membela agama?
PEJUANG: Mahu syahid. Jika menang, dapat menyebarkan Islam dan mati terus masuk syurga.
JIBRAIL: Bagaimana kamu tahu mati membela agama itu syahid dan syahid itu balasannya syurga…?
PEJUANG: Orang alim memberitahu aku.
JIBRAIL: Oh, orang alim beritahu.
PEJUANG: Begitulah. Saya amat yakin dengan apa yang dia beritahu.
JIBRAIL: Jika demikian, jagalah akhlak kamu. Kamu tidak patut melewati orang alim. Biarlah orang alim masuk syurga mendahului kamu.

Pejuang itu kelihatan malu. Menundukkan kepalanya kerana menyedari ketidaksopannya mendahulukan dirinya daripada orang alim, sedangkan orang alimlah yang menanamkan semangat juang ke dalam dirinya sehingga dia menjadi seorang pahlawan yang syahid.

Jibrail kemudiannya memanggil haji mabrur yang tidak cacat ibadah hajinya ketika mengerjakan ibadah itu.

JIBRAIL: Siapa kamu sehingga sanggup berebut-rebut masuk syurga dahulu daripada orang lain?
HAJI: Saya seorang haji mabrur. Saya dapat tahu bahawa Nabi berjanji bagi haji mabrur seperti saya ini balasnnya masuk syurga… Bukankah begitu?
JIBRAIL: Memang benar begitu. Tetapi daripada mana kamu dapat tahu?
HAJI: Guru saya, seorang alim yang salih.
JIBRAIL: Kalau begitu, jagalah kesopanan kamu. Biarlah guru kamu itu masuk dahulu.

Haji itu juga malu dan insaf, lalu mengundur diri di atas kesilapan yang tidak disedari. Disebabkan oleh sifat tamak, gelojoh dan pentingkan diri, maka dia lupa bahawa sebenarnya ada orang lain yang lebih utama daripadanya.

Kemudian Jibrail memanggil orang kaya yang dermawan.

JIBRAIL: Kamu juga berebut-rebut mahu masuk syurga mendahului orang lain.
ORANG KAYA: Memang begitulah kerana syurga itu milik saya.
JIBRAIL: Mengapa kamu mendakwa demikian?
ORANG KAYA: Saya orang kaya dan berharta. Harta itu saya perolehi secara halal. Saya bekerja keras dengan penuh amanah. Alhamdulillah, saya dapat kumpul banyak harta. Kemudian harta itu saya belanjakan di jalan Allah. Saya nafkahkan kepada anak isteri, ayah ibu, adik beradik, keluarga, waris jauh dan dekat dan orang yang memerlukannya. Saya bantu orang miskin, anak-anak yatim, orang tua yang tidak berwaris, bahkan kerajaan pun saya bantu melalui cukai dan zakat.
JIBRAIL: Dari mana kamu tahu ini semua bahawa orang kaya berharta yang pemurah itu diganjarkan Allah dengan syurga?
ORANG KAYA: Guru saya, orang alim.
JIBRAIL: Kalau begitu, orang alimlah yang berjasa kepada kamu sehingga kamu sendiri dididiknya sebagai dermawan.
ORANG KAYA: Memang benar. Terima kasih saya kepada orang alim.
JIBRAIL: Jadi, mengapa kamu biarkan orang alim itu di belakang. Biarlah guru kamu itu masuk dulu ke syurga.
ORANG KAYA: Saya setuju begitu. Biarlah guru saya itu masuk dahulu.
JIBRAIL: Itulah yang sepatut-patutnya.

Orang kaya itu pun mengundurkan diri. Jibrail kemudiannya memanggil orang alim dan mempersilakan dia ke syurga. Semua yang lain bersetuju mengizinkan orang alim itu mendahului mereka ke syurga. Tetapi kelihatan orang alim itu tidak bercadang demikian. Dia merendahkan diri dengan penuh tawaduk dan mengalah kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Kemudian terus saja dia berucap:

“Maaf sahabat-sahabatku sekalian dan para malaikat yang bijaksana. Memang benarlah saya adalah guru mereka. Tetapi kita harus ingat, saya tidak mungkin dapat mengajar dan mencurahkan ilmu saya kepada mereka jika tidak ada pahlawan yang berjuang dan sedia mati syahid kerana membela keamanan negara. Jasa pahlawan adalah besar kepada kita semua.

“Saya juga tidak akan beroleh pahala yang terus menerus jika murid saya yang haji mabrur itu tidak mengamalkan ilmu yang saya ajar itu secara benar.

“Dan saya orang alim, dia pahlawan dan dia haji mabrur tidak dapat menjalankan tugas masing-masing jika tidak ada orang kaya yang dermawan yang bersedia membiayai tentera berangkat ke medan perang, yang menyebabkan negara menjadi aman sehingga memberi kelapangan bagi perjalanan haji, dapat membangun madrasah dan masjid, membina tempat-tempat kebajikan, rumah-rumah orang tua, anak yatim dan lain-lain pembangunan. Semuanya itu tidak mungkin terwujud jika di kalangan masyarakat manusia tidak ada orang kaya dermawan, atau tidak ada orang kaya yang sedar bahawa, harta yang dimilikinya itu adalah amanah Allah.

“Oleh yang demikian, biarlah orang kaya lebih dahulu masuk syurga, kemudian pejuang, disusuli pula haji mabrur. Izinkan saya masuk syurga yang paling penghabisan, kerana peranan saya tidak sehebat mereka.”

Akhirnya, Jibrail pun membuat keputusan sebagaimana yang dicadangkan oleh orang alim yang berkenaan.

Cerita-cerita sebeginilah yang selalu dibaca oleh ulama-ulama pondok dahulu kepada murid-muridnya dengan penuh penghayatan dan kasih sayang.
Dipetik dari majalah "DAKWAH" terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia isu september & oktober 2011
4.

Thursday, September 8, 2011

Bisness jatuh kerana kurangnya penghayatan agama & tersalah memilih pasangan

Assalamualaikum wth..

Pada hari raya ke-4 yang lalu saya berkesempatan untuk menziarahi seorang sahabat usahawan di kampung saya. Ketika tiba di rumah sahabat saya itu, saya dapati sedang terjadi perang dunia ke-3 berlaku di bahagian dapur rumah ayah sahabat usahawan saya itu. Menurut tiga orang sahabat lain yang sedang beraya dirumah itu, pergaduhan sahabat usahawan saya dan teman wanitanya itu terjadi hampir sepuluh minit yang lalu.


Dua tahun yang lalu, sahabat saya ini membuka perniagaan restoran makanan siam yang agak popular di kawasan Pasir Gudang. Dalam tempoh setahun mengusahakan perniagaanya, Alhamdulillah beliau dikurniakan rezeki yang hebat! Pendapatan harian sahabat saya ini mencecah secara puratanya RM300-RM450 sehari (bukan pendapatan harian restoran, jika dikira pendapatan harian restoranya, nilai ini akan bertambah lebih besar). 


Namun, ada satu kesalan saya terhadap sifat sahabat ushawan saya ini, beliau bukan seorang muslim yang baik dan terdesak untuk mempunyai isteri. Dalam tempoh setahun yang lalu, beliau  telah berkenalan dengan seorang janda anak dua (diceraikan oleh bekas suami dengan talak 3) yang tidak lah memiliki akhlak islam dan melayu yang baik. 


Namun bukan kisah sahabat saya ini yang mahu saya kupaskan.

Wanita, merupakan madu dan racun bagi setiap lelaki terutamanya yang bergelar usahawan. Tersilap memilih calon pasangan hidup   menyebabkan pihak laki-laki bakal berdepan dengan dugaan yang hebat. Namun kita tidak boleh menyalahkan pihak perempuan 100% memandangkan pihak laki-laki sendiri ketika sedang memilih calon isteri haruslah bertepatan dengan kehendak islam.

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.  Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat  beragama, nescaya sejahtera hidupmu” 

(Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Kini, perniagaan sahabat usahawan saya itu dilanda musibah dan mula merosot sejak hampir 5 bulan lalu. Beliau sudah kehilangan fokus terhadap perniagaanya. Aliran wang keluar masuk restoran miliknya diserahkan kepada pekerja yang tidak amanah. Malah kehidupanya kini berubah akibat terlalu mengikut gaya hidup teman wanitanya itu yang gemarkan hiburan dunia. Hampir separuh daripada wang gajinya dihabiskan kepada wanita itu termasuk membayar wang bulanan kereta, membuat sistem audio, cuti-cuti keliling semenanjung, membeli keperluan seperti pakaian dan alat kemas.


Hasil daripada pergaduhan malam itu, kaki sahabat saya itu telah dilanda kecederaan dan menyebabkan saya dan Herwan Basiron mengejarkan sahabat ini ke hospital kerana dia mengalami pendarahan tanpa henti dan luka yang besar.


Setelah selesai urusan menjahit kakinya di hospital itu, saya dan herwan basiron ini mengambil kesempatan untuk menasihatkan sahabat kami itu, kami berbincang dari hati ke hati. Kami menasihati beliau agar kembali kepada jalan islam dan berpisah dengan teman wanitanya itu sekiranya beliau tidak mampu mendidiknya. Sayang jika kemajuan perniagaanya tidak diiringi dengan kemajuan iman.




(kakinya terpaksa dibalut dua lapis beg plastik agar darah tidak terkena karpet kereta)


Doakan calon isteri saya merupakan insan yang akan mendukong cita-cita saya dan bersama-sama membina perniagaan & keluarga yang Allah redhai dan berkati..


 doakan kami dapat bersama hingga akhir hayat ea.. :)



4.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...