Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Saya menyeru diri saya dan tuan-tuan agar kita bersama-sama berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai oleh Allah SWT dengan berbekalkan sumber rezeki halal mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sempena dengan Sambutan Hari Ulangtahun Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Yang Ke 44, Mimbar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan mengenai:
"KEWAJIPAN MENJAUHI AMALAN RASUAH".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Perbuatan Jenayah Rasuah mengikut Islam adalah haram dan tergolong dalam dosa-dosa besar. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 188:
"Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."
Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka".
(Riwayat At-Tarmizi)
Dalam hadis lain daripada Thauban r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. telah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan yang menjadi orang perantaraan"
(Riwayat Ahmad)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mereka yang terlibat dengan Jenayah Rasuah ini akan dikutuk oleh Allah SWT dan dihumban ke dalam api neraka. Besar kemungkinan juga harta mereka yang terlibat dengan rasuah ini akan diwarisi oleh baka atau keturunan mereka.
Hadis daripada Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata; bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
" Mana-mana daging yang tumbuh dari sumber yang diusahakan dengan jalan yang haram, maka nerakalah yang layak baginya ".
Berdasarkan hadis ini, nyata terdapat kaitan kuat bahawa hasil pendapatan mereka yang bergelumang dengan Jenayah Rasuah ini berkemungkinan besar akan diwarisi pula oleh anak-pinak mereka jika kita tidak mengambil berat atau meneliti dari sumber makanan hasil yang kita perolehi itu sama ada dari sumber yang halal atau yang haram.
Rasuah juga boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah, ibadah dan doa kita menjadi sia-sia, bahkan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Lebih membimbangkan lagi jika sekiranya kita tidak segera membanteras penyakit rasuah ini nescaya boleh menyebabkan berlakunya pelbagai malapetaka dan bencana, akibat kemurkaan Allah sebagaimana Firman-Nya dalam surah Ali 'Imran ayat 112:
"Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Allah tidak pernah membezakan hamba-Nya yang melakukan kesalahan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, tanpa mengira pangkat atau taraf kedudukan seseorang itu.
Penjenayah Rasuah adalah merupakan musuh Islam dan juga sesiapa sahaja yang menyokong Penjenayah Rasuah tersebut. Tindakan terhadap Jenayah Rasuah hendaklah secara telus dan bukannya dipengaruhi atau pun arahan mana-mana pihak.
Oleh sebab itu sewajarnya ahli masyarakat yang mengesan mana-mana perbuatan Jenayah Rasuah hendaklah bertindak melaporkan segera kepada pihak SPRM yang terdekat. Pemberi maklumat hendaklah benar-benar dilindungi dan dijaga keselamatannya di bawah undang-undang iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama berusaha menjauhkan diri kita daripada perbuatan memberi atau menawarkan rasuah kepada mana-mana pihak kerana perbuatan itu adalah merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM 10,000.00 yang mana lebih tinggi.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia yang bertakwa dan beriman kerana ;
Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti;
Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;
Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah; dan
Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya daripada terlibat dengan najis rasuah.
Setiap individu juga perlu jujur pada dirinya sendiri dan menolak rasuah dalam amalan kehidupannya. Walaupun rasuah boleh dilakukan secara tersembunyi tetapi individu terbabit masih belum dapat menyembunyikannya daripada Allah SWT. Perbuatan setiap manusia diketahui oleh Allah SWT sama ada yang zahir mahupun yang batin. Bahawasanya Allah SWT mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati manusia.
Setiap individu perlu membina keimanan dan ketakwaan kepada Allah dalam mengharungi persaingan hidup dan untuk mengelakkan diri dari terjebak dengan aktiviti haram seperti perbuatan rasuah. Kekuatan takwa dan keimanan kepada Allah SWT dapat memberi jalan keluar kepada kita daripada segala kesusahan dan kurniaan rezeki daripada sumber halal yang tidak terlintas di hati manusia.
Pembentukan peribadi juga berkait rapat dengan sumber rezeki yang menjadi punca makanan yang mengalirkan darah dalam diri kita dan harta yang digunakan untuk tujuan kehidupannya. Mencari rezeki halal untuk keperluan diri sendiri, keluarga atau untuk membantu orang lain tanpa jalan rasuah adalah penting. Ini adalah kerana rezeki yang halal itu akan membawa keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha kerana kerja dan usaha itu dianggap sebagai ibadah di sisi Allah SWT. Untuk menjadikan pekerjaan itu sebagai satu ibadah setiap orang perlu memastikan bahawa mereka tidak melakukan pekerjaan yang mengandungi unsur maksiat seperti rasuah dan penyelewengan. Harta yang mencukupi membolehkan manusia merasa selamat dan hidup dengan selesa, sekiranya tidak dikendalikan dengan baik ia hanya menjadi sebagai perhiasan hidup di dunia semata-mata.
Marilah kita sama-sama meningkatkan kesedaran dalam usaha menghapuskan rasuah kerana tanpa kerjasama daripada seluruh anggota masyarakat, usaha-usaha pencegahan rasuah ini tidak akan berjaya. Sehubungan itu, perkukuhkanlah keimanan kita supaya dapat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan, serta menjadi golongan yang suka menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
"Wahai orang-orang yang beriman!, Janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara redha-meredhai di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu". "Sesiapa melakukan yang demikian dengan melanggar yang hak dan kezaliman, maka Kami akan memasukkannya ke dalam api neraka. Balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah (tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalangnya".
(An-Nisa': 29-30)
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah!, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di negeri Selangor untuk melaksanakan Ibadah Zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi faqir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefaqiran yang berpanjangan.
Sumber:
4.
No comments:
Post a Comment