Assalamualaikum WTH..
Kitab DURATUN NASIHIN adalah sebuah kitab tua
yang menjadi bacaan utama ulama-ulama dan tok guru pondok zaman dahulu untuk
ditadah oleh murid-murid mereka. Kitab yang berkonsepkan kepada tasawuf ini
adalah merupakan kumpulan hadis yang bertemakan perkara-perkara fadhail. Terkandung
di dalamnya hadis-hadis yang mencerminkan kelebihan dan keistimewaan berakhlak
mulia dan kesucian diri.
Dikatakan bahawa kebanyakan hadis
yang terkandung di dalam kitab tersebut adalah daif dan lemah. Namun demikian,
sesiapa yang membaca dan dapat memahaminya, akan terbentuklah dalam dirinya
keperibadian yang mulia dan akhlak terpuji, kerana kandungannya mengarah kepada
mensucikan diri, memahamkan dengan mudah gagasan kejadian alam ini dan dapat
meyakini konsep ketuhanan secara lebih berkesan.
Itulah sebabnya ulama dan tok
guru pondok dahulu amat dihormati dan dimuliakan oleh masyarakat. Mereka
mempunyai nilai kehebatan dan karamah. Anugerah ini didatangkan Allah kepada
mereka kerana akhlak dan sifat-sifat sufi mereka.
Mungkin ulama dahulu tidak hebat
berpidato, kelihatan selekeh dan ‘serebeh‘, tidak kemas dan tidak bergaya,
tidak berpangkat dan tidak bergelar, tetapi namanya menjadi sebutan baik. Dia
tidak menjelajah mencari pengaruh dan populariti, tetapi orang ramai dari
setiap pelosok datang menemui mereka untuk menimba ilmu dan mendapat keberkatan
daripada mereka.
Dia juga tidak mementing dan
mengutamakan dirinya, tetapi orang ramai yang memberi kedudukan dan
mendahulukannya dalam serba perkara sebagai penghormatan dan penghargaan kepada
ulama. Dan ulama tidak pernah menagih atau menuntut penghormatan ini.
Ada sebuah hadis yang menarik
perhatian saya yang terdapat dalam kitab tersebut di bawah bab ilmu. Hadis yang
berkenaan saya skripkan seperti berikut:
Di akhirat nanti, berlaku dialog
di pintu syurga antara Malaikat Jibrail dengan Malaikat Ridhwan yang menjaga
syurga. Malaikat Ridhwan terpaksa meminta nasihat daripada Jibrail dalam
menyelesaikan masalah empat orang manusia yang beruntung masuk syurga tanpa
dihisab. Masing-masing memohon masuk syurga mendahului sahabat-sahabatnya yang
lain.
Manusia yang berkenaan ialah
pejuang yang syahid, orang kaya yang dermawan, pekerja haji yang mabrur, dan
seorang alim yang soleh.
Malaikat Ridhwan meminta
pertolongan Jibrail bagi menyelesaikan masalah mereka. Jibrail terus menemui
mereka dan memanggil seorang demi seorang untuk menyelesaikan perebutan itu.
Pejuang yang syahid itu dengan
sikap kepahlawanan dan kesatria maju ke depan. Terus saja dia disoal siasat
oleh Jibrail.
JIBRAIL: Kamu pejuang yang mati
syahid?
PEJUANG: Benar! Saya syahid
kerana membela agama dalam suatu peperangan.
JIBRAIL: Syabas, beruntung kamu!
PEJUANG: Alhamdulillah, syukur.
JIBRAIL: Tetapi bagaimana kamu
berani sehingga sanggup mati cuma kerana membela agama?
PEJUANG: Mahu syahid. Jika menang,
dapat menyebarkan Islam dan mati terus masuk syurga.
JIBRAIL: Bagaimana kamu tahu mati
membela agama itu syahid dan syahid itu balasannya syurga…?
PEJUANG: Orang alim memberitahu
aku.
JIBRAIL: Oh, orang alim beritahu.
PEJUANG: Begitulah. Saya amat yakin
dengan apa yang dia beritahu.
JIBRAIL: Jika demikian, jagalah
akhlak kamu. Kamu tidak patut melewati orang alim. Biarlah orang alim masuk
syurga mendahului kamu.
Pejuang itu kelihatan malu.
Menundukkan kepalanya kerana menyedari ketidaksopannya mendahulukan dirinya
daripada orang alim, sedangkan orang alimlah yang menanamkan semangat juang ke
dalam dirinya sehingga dia menjadi seorang pahlawan yang syahid.
Jibrail kemudiannya memanggil
haji mabrur yang tidak cacat ibadah hajinya ketika mengerjakan ibadah itu.
JIBRAIL: Siapa kamu sehingga
sanggup berebut-rebut masuk syurga dahulu daripada orang lain?
HAJI: Saya seorang haji mabrur.
Saya dapat tahu bahawa Nabi berjanji bagi haji mabrur seperti saya ini
balasnnya masuk syurga… Bukankah begitu?
JIBRAIL: Memang benar begitu.
Tetapi daripada mana kamu dapat tahu?
HAJI: Guru saya, seorang alim
yang salih.
JIBRAIL: Kalau begitu, jagalah
kesopanan kamu. Biarlah guru kamu itu masuk dahulu.
Haji itu juga malu dan insaf,
lalu mengundur diri di atas kesilapan yang tidak disedari. Disebabkan oleh
sifat tamak, gelojoh dan pentingkan diri, maka dia lupa bahawa sebenarnya ada
orang lain yang lebih utama daripadanya.
Kemudian Jibrail memanggil orang
kaya yang dermawan.
JIBRAIL: Kamu juga berebut-rebut
mahu masuk syurga mendahului orang lain.
ORANG KAYA: Memang begitulah
kerana syurga itu milik saya.
JIBRAIL: Mengapa kamu mendakwa
demikian?
ORANG KAYA: Saya orang kaya dan
berharta. Harta itu saya perolehi secara halal. Saya bekerja keras dengan penuh
amanah. Alhamdulillah, saya dapat kumpul banyak harta. Kemudian harta itu saya
belanjakan di jalan Allah. Saya nafkahkan kepada anak isteri, ayah ibu, adik
beradik, keluarga, waris jauh dan dekat dan orang yang memerlukannya. Saya
bantu orang miskin, anak-anak yatim, orang tua yang tidak berwaris, bahkan
kerajaan pun saya bantu melalui cukai dan zakat.
JIBRAIL: Dari mana kamu tahu ini
semua bahawa orang kaya berharta yang pemurah itu diganjarkan Allah dengan
syurga?
ORANG KAYA: Guru saya, orang
alim.
JIBRAIL: Kalau begitu, orang
alimlah yang berjasa kepada kamu sehingga kamu sendiri dididiknya sebagai
dermawan.
ORANG KAYA: Memang benar. Terima
kasih saya kepada orang alim.
JIBRAIL: Jadi, mengapa kamu
biarkan orang alim itu di belakang. Biarlah guru kamu itu masuk dulu ke syurga.
ORANG KAYA: Saya setuju begitu.
Biarlah guru saya itu masuk dahulu.
JIBRAIL: Itulah yang
sepatut-patutnya.
Orang kaya itu pun mengundurkan
diri. Jibrail kemudiannya memanggil orang alim dan mempersilakan dia ke syurga.
Semua yang lain bersetuju mengizinkan orang alim itu mendahului mereka ke
syurga. Tetapi kelihatan orang alim itu tidak bercadang demikian. Dia
merendahkan diri dengan penuh tawaduk dan mengalah kepada sahabat-sahabatnya
yang lain. Kemudian terus saja dia berucap:
“Maaf sahabat-sahabatku sekalian
dan para malaikat yang bijaksana. Memang benarlah saya adalah guru mereka.
Tetapi kita harus ingat, saya tidak mungkin dapat mengajar dan mencurahkan ilmu
saya kepada mereka jika tidak ada pahlawan yang berjuang dan sedia mati syahid
kerana membela keamanan negara. Jasa pahlawan adalah besar kepada kita semua.
“Saya juga tidak akan beroleh
pahala yang terus menerus jika murid saya yang haji mabrur itu tidak
mengamalkan ilmu yang saya ajar itu secara benar.
“Dan saya orang alim, dia
pahlawan dan dia haji mabrur tidak dapat menjalankan tugas masing-masing jika
tidak ada orang kaya yang dermawan yang bersedia membiayai tentera berangkat ke
medan perang, yang menyebabkan negara menjadi aman sehingga memberi kelapangan
bagi perjalanan haji, dapat membangun madrasah dan masjid, membina
tempat-tempat kebajikan, rumah-rumah orang tua, anak yatim dan lain-lain
pembangunan. Semuanya itu tidak mungkin terwujud jika di kalangan masyarakat manusia
tidak ada orang kaya dermawan, atau tidak ada orang kaya yang sedar bahawa,
harta yang dimilikinya itu adalah amanah Allah.
“Oleh yang demikian, biarlah
orang kaya lebih dahulu masuk syurga, kemudian pejuang, disusuli pula haji
mabrur. Izinkan saya masuk syurga yang paling penghabisan, kerana peranan saya
tidak sehebat mereka.”
Akhirnya, Jibrail pun membuat
keputusan sebagaimana yang dicadangkan oleh orang alim yang berkenaan.
Cerita-cerita sebeginilah yang
selalu dibaca oleh ulama-ulama pondok dahulu kepada murid-muridnya dengan penuh
penghayatan dan kasih sayang.
Dipetik dari majalah "DAKWAH" terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia isu september & oktober 2011
4.
3 comments:
Namun terdapat beberapa polimik dikalangan ulama berkenaan kitab ini kerana dikatakan dhaif & mempunyai beberapa hadis palsu & dhaif..
Assalam, mohon izin kongsi artikel diatas...tq
Silakan.. :) saya pun copy dari majalah dakwah..
Post a Comment