Tajuk: Bila Allah Menduga Kita
Pengarang: Syed Alwi Al-Atas
Penerbit: Mustread Sdn Bhd
Tahun: 2010
Harga: RM19.90
Saya menerima buku Bila Allah Menduga Kita daripada
penulisnya, Tuan Syed Alwi Alatas, menjelang makan tengahari hari Khamis
11 Februari 2010, dengan sepotong janji. Beliau minta buku ini diulas
di blog, beserta pesannya “tak perlu khawatir, saya akan menerima
review yang diberikan, walau banyak kritik sekalipun.” Ini tugas
sukar saya kira, bagaimana mengkritik sebuah buku yang telah dihadiahkan
oleh penulisnya sendiri? Bagaimana saya dapat membendung kecenderungan
biasa dalam hati manusia untuk terhutang budi pada si pemberi?
Namun Allah mempunyai aturannya sendiri. Buku yang saya tatap
beberapa halaman pertamanya ketika waktu rehat 11 haribulan itu, rupanya
menjadi bekal yang sangat penting menjelang petang dan malam harinya.
Sekitar waktu Asar Khamis itu, saya menerima berita dari kakak sulung.
Seorang adik sepupu yang sedang menuntut di UiTM Seri Iskandar, telah
ditimpa kemalangan jalan raya dalam perjalanan pulang menyiapkan tugasan
akademik dengan rakan-rakannya.
Saya bergegas pulang sebaik sahaja tamat waktu kerja, mencongak sama
ada perlu ke Hospital Batu Gajah sebaik tiba di rumah, atau menunggu
berita terkini keadaannya dari abang-abangnya yang sedang memandu ke
sana. Namun dalam perjalanan, berita yang lebih memedihkan akhirnya
tiba. Adik sepupu saya, telah dipanggil pulang oleh Allah. Pada usia 20
tahun.
Malam itu sanak-saudara memenuhi perkarangan bilik mayat Hospital
Batu Gajah. Kami tiba saat jenazah sedang dimandikan, sempat turut serta
mengafan dan mengucupnya sebelum disembahyangkan. Saya lihat wajah
tabah ibu saudara saya, tidak ada air mata melinangi pipinya, dan
ucapnya pada saya, dia reda. Saya cuba gambarkan diri di tempatnya,
bagaimana kalau yang disembahyangkan itu anak saya, apakah saya
bersedia?
Itulah sekilas inti buku Bila Allah Menduga Kita,
yang sempat saya baca beberapa halaman, muncul semula dalam fikiran saya
di sisi jenazah. Apakah saya bersedia jika dugaan Allah menimpa saya
waktu itu, saat itu juga? Dan menurut pengarangnya, tidak ada yang lebih
penting saat kita menerima dugaan, tidak kira dugaan nikmat atau
kesedihan, melainkan persediaan kita. Ini kerana persediaan kita itulah
yang akan menentukan, apakah kehidupan ini akan kita akhiri dengan penuh
keimanan kepada Allah, atau sebaliknya, Nauzubillah.
Pada saya, buku yang telah saya khatam ini sebenarnya buku yang serba
sederhana. Namun usah cepat bingkas, kerana acapkali, kesederhanaan
itulah yang lebih menyentuh dan meninggalkan bekas.
Kesederhanaan pertama yang saya temui pada buku ini adalah dari
susunan bab-babnya. Hanya ada tiga bab utama saja dalam buku ini, iaitu
‘Berprasangka Baiklah Pada Tuhanmu’, ‘Iman Terhadap Takdir’ dan ‘Agar
Anda Selalu Menang dan Bahagia’. Di dalam setiap bab ada subbahagian
yang merupakan tajuk-tajuk kecil yang saling berturutan dan berkaitan,
menyoroti setiap topik dengan santun dan tidak gopoh-gapah, dibumbui
pelbagai kisah dari zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah apa yang kita
sering hadapi pada masa kini. Di sinilah kesederhanaan itu bagi saya
bertukar menjadi istimewa, kerana selitan kisah semasa membawa kedekatan
masalah kepada kita, dan tidak meninggalkan kita terawang-awang
mengenai peristiwa ratusan tahun lampau semata-mata. Dengan jelas,
aplikasi ilmu sudah dinampakkan kepada kita secara bersahaja.
Selain itu, pendekatan pengarang yang menulis dengan bahasa yang
sederhana, tetapi mengajak dan sesekali sedikit menggesa pembaca
menempatkan diri dalam keadaan tertentu, turut memberi saya kesan.
Mungkin ada segelintir yang tidak selesa dengan cara penulisan begini
yang dianggap menggurui pembaca, tetapi saya tergolong di kalangan yang
tidak kisah. Apatah lagi kalau membaca buku agama. Pada saya, kenapa
tidak boleh pengarang itu menggurui saya, kalau ternyata saya memang
layak menjadi muridnya? Dan bukankah membeli buku agama karangan
sesiapapun, bererti kita telah sudi untuk digurui pengarangnya secara
tidak langsung?
Dan benar, Syed Alwi Alatas telah banyak menggurui saya melalui buku
ini. Saya rasa saya mampu melihat ujian Allah dengan kaca mata baru
setelah menyudahkan bacaan. Saya ingat antara pengulangan yang
ditekankan oleh pengarang dari sebuah hadis Rasulullah s.a.w., “Raihlah
apa yang bermanfaat bagimu”, walaupun ketika itu kita sedang bergelumang
dengan ujian. Dua kisah dari riwayat hidup Hasan Al-Banna dan Ummu
Sulaim, sudah cukup untuk menjentik hati dan meninggalkan kesan.
Betapa juga, pandangan saya tentang beberapa hal yang saya anggap
kecil (tetapi hakikatnya besar) mengenai takdir, selama ini terpendam
begitu sahaja dan tidak berani saya terokai, ada jawapannya dalam buku
ini. Saya ada kisah peribadi yang sangat berkait Bab 2 (Iman Terhadap
Takdir). Sewaktu arwah Ayah saya meninggal di Mekah ketika usia saya 15
tahun selepas waktu haji, lima hari sebelum pulang ke Malaysia, saya
sangat tertanya-tanya, kenapa doa dan tangisan saya dalam solat hajat
setiap malam, sepanjang beberapa puluh hari arwah di sana (kecuali satu
hari saya tertinggal), tidak dikabulkan Allah? Adakah kerana satu hari
yang tertinggal itu?
Saya tahu, arwah Ayah sangat uzur ketika bertolak, malah doktor mahu
membuat pembedahan pintasan jantung sebelum arwah berlepas, tetapi saya
sangat tertanya-tanya, kenapa akhirnya arwah tidak dikurnia usia lebih
panjang untuk pulang bertemu saya yang telah berdoa dan berdoa? Meskipun
saya telah meredai pemergian arwah lama dahulu, tetapi saya selalu
mencari jawapan yang memuaskan, yang dapat memberi ketenangan penuh
mengenai masalah takdir ini, dan Alhamdulillah, buku ini menemukan saya
dengan jawapannya. Ya, sebuah buku yang sederhana, tetapi menjadi sangat
bermakna!
Akhirnya saya memahami, ada dua senjata penting dalam menghadapi
kehidupan, tidak kira sewaktu dunia saya sedang bergolak, mahupun ketika
dunia saya diempuki nikmat, iaitu sabar dan syukur. Saya berharap saya
dapat menggunakan kedua-dua senjata ini pada masa sepatutnya dengan
rahmat dan kurnia Allah. Penerangan panjang lebar pengarang dalam Bab 3
mengenai dua keperluan penting ini, akan mampu memberi kejelasan dan
ruang lingkup baru pengamalannya.
Dirindui, Siti Aminah Hadawiah (20 Februari
1990-11 Februari 2010)
Namun tidak dapat saya nafikan, buku ini mungkin tidak sebermakna
seperti yang saya luahkan bagi orang lain, kerana sudut pandang manusia
dalam hidup tentulah berbeza-beza. Apatah lagi, buku ini saya baca saat
sedang menghadapi dugaan kehilangan, serta desakan pengalaman lampau
yang mengesankan jiwa remaja saya 15 tahun lalu. Semua penilaian
berbalik kepada diri kita, kerana diri kita semua bukanlah ‘tabula
rasa’. Selain itu, mungkin juga pandangan saya yang sangat menyenangkan
mengenai buku ini tercipta kerana saya telah terhutang budi menerimanya
sebagai hadiah.
Walau bagaimanapun, satu kehampaan yang ingin saya bangkitkan
mengenai buku ini, iaitu ayat-ayat Al-Qur’annya hanya ditampilkan dalam
bentuk terjemahan sahaja, manakala ayat-ayat yang asli tidak dimasukkan
bersama. Penghayatan ayat-ayat Al-Qur’an dalam bentuk asalnya bagi saya
adalah penting dalam sesebuah buku agama. Ini sedikit sebanyak
mencacatkan, saya kira. Barangkali keputusan pihak penerbit turut
memainkan peranan dalam hal ini.
Apapun, tahniah dan terima kasih kepada pengarang buku ini, Tuan
Syed Alwi Alatas, yang telah
sudi memberi saya peluang membaca bukunya dan membuat resensi. Beliau
yang berasal dari Indonesia, setahu saya, adalah Ketua Forum Lingkar
Pena (cawangan Malaysia) dan telah lama giat menulis, dengan 18 buah
buku atas namanya. Beliau juga boleh ditemui di
Goodreads.
4.