Teraju perkukuh agenda majukan perniagaan peribumi
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) menyambut baik penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera
(Teraju) yang bertujuan memperkukuhkan agenda pembangunan golongan itu.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim
Ali berkata, penubuhannya mampu mendorong, menyelaras dan memantau
pelaksanaan kepentingan agenda ekonomi bumiputera terutama dalam usaha
negara mencapai status negara maju menjelang 2020.
Malah, katanya, penubuhan tersebut selaras dengan salah satu resolusi
meja bulat perbincangan ekonomi bumiputera sebelum ini yang
mencadangkan diwujudkan Jawatankuasa Penyelaras seperti Unit Pengurusan
Prestasi dan Penyampaian (Pemandu) di bawah jawatankuasa agenda ekonomi
bumiputera.
"Apa yang dituntut oleh orang Melayu dan bumiputera adalah
kesaksamaan dalam ekonomi negara yang adil untuk semua golongan,"
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Teraju yang
dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Ibrahim berkata, dalam memastikan kejayaan pelaksanaan agensi yang
baru ditubuhkan itu, kerajaan mesti memastikan ia diterajui oleh
pemimpin Melayu yang mempunyai semangat Melayu tulen.
Selain itu, katanya, kepimpinan Teraju mesti bersifat bersih dan
telus serta mempunyai 'kuasa' seperti Pemandu.
Sementara itu Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd.
Hilmi Ismail berpendapat, penubuhan Teraju merupakan satu tindakan
positif untuk membantu pelan transformasi dalam meningkatkan taraf
ekonomi bumiputera. Namun katanya, peneraju unit tersebut haruslah bertaraf menteri demi
memastikan pelaksanaan agendanya efisien.Selain itu tegasnya, dalam menjayakan agenda tersebut, perancangannya
harus menembusi pelbagai peringkat sehingga ke akar umbi.
"Pegawai pentadbir yang dilantik juga mesti memahami peranannya agar
mereka dapat melaksanakan misi dan visi dengan hasil terbaik. "Malah saya yakin andai kelompok bumiputera dan Melayu bersatu,
hasrat Perdana Menteri akan dapat dilaksanakan dengan berkesan,"
jelasnya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
No comments:
Post a Comment